Employee Spotlight kali ini diteruskan lagi dengan pemenang tempat pertama Pertandingan Video Senyum UMP Holdings pada tahun lalu, iaitu Siti Nur Ain Che Adan daripada Unit Building Information Modelling (BIM). Pertama kali kami menonton video yang dihasilkan oleh Ain, kami semua tergamam. Tidak sangka wanita ini mempunyai bakat dalam penghasilan video, seperti profesional!
Berkongsi dengan kami mengenai hobinya di waktu senggang iaitu menangkap gambar dan menyunting video, tidak hairanlah hasil video penyertaannya begitu menarik dan berkualiti. Sehingga hari ini video yang dihasilkan oleh wanita berusia 27 tahun ini ditayangkan di media sosial dan laman web UMP Holdings (UMPH).
Bertugas sebagai BIM Modeller di UMPH, Ain merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Malaysia Perlis. Penglibatannya dalam dunia BIM dan UMPH itu sendiri bermula apabila beliau menyertai program Prihatin CIDB - BIM Advance Modeller yang dianjurkan bersama dengan UMPH pada tahun 2020. Berkemahiran dalam Revit, Autocad Software, beliau pernah bertugas sebagai site engineer untuk sebuah projek pembinaan di Setiu, Terengganu sebelum menyertai Unit BIM UMPH pada November 2022.
Menurut Ain, antara kenangan berharga semasa di UMPH adalah pengalaman yang luar biasa dalam menyelesaikan pelbagai cabaran dalam projek pembinaan Kompleks Pakar Pesakit Luar, di Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (PPUM). Kejayaan daam projek ini tidak mungkin dapat digapai tanpa sokongan yang tidak ternilai dari rakan sekerjanya dalam Unit BIM. Mereka bekerjasama dengan baik untuk menyelesaikan pelbagai cabaran teknikal dan organisasi dalam projek-projek yang mereka uruskan.
Selain itu, penglibatan aktifnya dalam pelbagai acara yang dianjurkan oleh UMPH seperti Hari Sukan, Hari Keluarga dan sambutan Aidilfitri juga memberikan pengalaman yang sangat bermakna buat diri Ain. Aktiviti sebegini ini bukan sahaja dapat mengukuhkan ikatan di antara kakitangan, malah mewujudkan persekitaran kerja yang mesra dan positif.
Berkongsi berkenaan impiannya di UMPH, matlamat beliau adalah untuk terus berkembang sebagai seorang BIM Modeller dan diberi peluang untuk mengendalikan lebih banyak projek mega seperti pusat membeli belah, lebuh raya dan sebagainya. Beliau juga yakin dengan memanfaatkan teknologi terkini, ia akan dapat memberi sumbangan yang signifikan kepada kemajuan teknologi inovatif dalam industri pembinaan negara.
Comments